Home / [Harian Metro] Tawar JomPAY

Printer Friendly

Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kumpulan AmBank (AmBank) memuktamadkan perjanjian bersama Kolej Universiti SEGi dan Yayasan Selangor bagi menawarkan pembayaran elektronik JomPAY yang memudahkan orang ramai dan pelanggan membuat pembayaran melalui perbankan Internet, perbankan mudah alih dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank dan Pengarah Urusan Perbankan Borong AmBank Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, penyertaan dua pihak itu sebagai pemberi bil adalah langkah tepat kerana platform itu menawarkan keselesaan kerana mudah diakses serta berkesan melakukan transaksi pembayaran.

“Kami amat berterima kasih kepada barisan pemberi bil JomPAY kami kerana menjadi rakan kongsi dan menjadikan AmBank sebagai bank pengumpulan mereka,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian dengan Kolej Universiti SEGi dan Yayasan Selangor serta meraikan 10 pemberi bil terbaik AmBank.

Antara pemberi bil terbaik AmBank adalah Cosway, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Bandaraya Ipoh, Kenanga Investment Bank dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Dalam perkembangan sama, AmBank dinobatkan sebagai Penyumbang Terbaik Anugerah JomPAY pada Anugerah Kecemerlangan Pembayaran Elektronik 2017 (MEEA 2017), baru-baru ini.

JomPAY adalah skim pembayaran bil negara yang diwujudkan dan dikendalikan Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear) membabitkan penyertaan bank dengan peningkatan lebih daripada 1,468 pemberi bil.

Penyertaan Kolej Universiti Segi dan Yayasan Selangor dalam JomPAY dikuasakan oleh Perbankan Transaksi Kumpulan AmBank yang menawarkan penyelesaian perbankan borong sehenti dalam pengurusan tunai, kewangan perdagangan dan kiriman wang.