Home / News Room

22 March 2015

[Borneo Post] Kolej SEGI tawar program Diploma Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak

KUCHING: Program Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak menjadi antara industri terpenting di negara ini dan merupakan sektor yang semakin pesat membangun di seluruh dunia.

Malah, kerajaan persekutuan memberi penekanan khusus kepada pemain industri Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak sejajar dengan pembangunan arus semasa negara yang dipercayai harus bermula dari pendidikan awal yang kukuh dari peringkat kanak-kanak lagi.

Hasil dan dasar kebangsaan bagi Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak juga dirumus bagi memastikan kanak-kanak diperkenal dengan program itu sekali gus memenuhi pelbagai keperluan penting untuk perkembangan pendidikan bermula dari usia bayi hingga enam tahun.

Program itu juga disusun sebagai platform asas yang kukuh untuk pertumbuhan dan perkembangan sihat bertujuan meningkatkan kesediaan kanak-kanak sebelum menghadapi pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Di Malaysia, Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu bayi hingga empat tahun dan empat hingga enam tahun.

Kumpulan pertama (0-4 tahun) adalah di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengendalikan maklumat mengenai pusat-pusat penjagaan kanak-kanak (yang juga dikenali sebagai TASKA) di negara ini.

Manakala bagi pendidikan prasekolah untuk kumpulan kedua (4-6 tahun) ia adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Perpaduan Negara.

Penglibatan kerajaan dalam mengetengahkan Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak terbukti dengan adanya inisiatif yang memudahkan penglibatan golongan kurang bernasib baik dan berada di kawasan luar bandar.

Antaranya ialah menjelang 2017, semua pusat jagaan kanak-kanak dan prasekolah haruslah sekurang-kurangnya memiliki 30 peratus kakitangan yang mempunyai latar belakang Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak.

Ia adalah bagi memastikan pendekatan mengikut standard yang profesional untuk setiap pusat di seluruh negara ini dan supaya kakitangan yang diamanahkan menjaga kanak-kanak adalah merupakan individu yang berkelayakan.

Justeru, Kolej SEGi Sarawak menawarkan program Diploma Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak, pengajian selama tiga tahun yang bertujuan menyediakan pendidikan profesional awal kanak-kanak kepada individu yang berminat.

Program tersebut dikendalikan oleh pensyarah yang berpengalaman dan berdedikasi serta ghairah mengenai pengajaran serta menyampaikan pengetahuan mereka kepada mereka yang mempunyai semangat tinggi untuk belajar.

Mod dan media penghantaran pembelajaran adalah menerusi peperiksaan, kursus dan latihan yang diatur oleh pihak kolej dengan pusat penjagaan kanak-kanak tempatan.

Graduan lepasan program itu juga berpeluang melanjutkan pengajian dalam kursus sama di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana atau menyertai bidang kerjaya yang meluas seperti menguruskan pusat jagaan kanak-kanak mereka sendiri atau menjadi pendidik.

Sehubungan itu, Kolej SEGi Sarawak menganjur Hari Terbuka kolej itu di dua kampusnya, iaitu di Jalan Bukit Mata dan di King Centre pada 20 hingga 22 Mac, 28 hingga 29 Mac dan 10 hingga 11 April.

Orang ramai yang mahu mendaftar kemasukan atau mengenali Kolej SEGi Sarawak dengan lebih dekat boleh mengunjungi kedua-dua kampus pada Hari terbuka bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Sempena sambutan ulang tahun Kolej SEGi Ke-38 pada tahun ini, pelajar baharu boleh menikmati pelbagai tawaran biasiswa dan rebat, seperti Biasiswa Pencapaian Tinggi, dan ‘Promising Minds Fund and Earn As You Learn Fund.’

Related

Back to Top