[Berita Harian] SEGi rangkul enam pengiktirafan KPT

By Mohammad Asyraf Khalid

TAHUN baharu 2021 menjadi permulaan membanggakan buat SEGi University & Colleges (SEGi) apabila berjaya merangkul enam pengiktirafan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

Kejayaan itu menjadikan SEGi institusi swasta tunggal yang menerima pengiktirafan terbanyak di negara ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEGi International Berhad, Hew Moi Lan, berkata pengiktirafan daripada KPT menjadi bukti komitmen SEGi  dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi. 

“Kami bangga dengan pencapaian ini sekali gus menjadi inspirasi untuk terus berinovasi dan meningkatkan kualiti program serta memastikan graduan SEGi bersedia dengan keperluan industri,” katanya. 

SEGi dalam kenyataannya turut mengumumkan enam anugerah yang diterima itu merangkumi pengiktirafan SETARA dan MyQUEST iaitu;

  1. Penarafan lima bintang SETARA 2018/2019 untuk Universiti SEGi dalam kategori Emerging University (penubuhan IPT 15 tahun atau kurang).
  2. Penarafan enam bintang MyQUEST 2018/2019 untuk SEGi College Subang Jaya dalam kategori kolej bersaiz besar (enrolmen pelajar lebih daripada 2,000 orang).
  3. Penarafan enam bintang MyQUEST 2018/2019 untuk SEGi College Kota Damansara dalam kategori kolej bersaiz sederhana (enrolmen pelajar antara 601 – 1,999 orang).
  4. Penarafan enam bintang MyQUEST 2018/2019 untuk SEGi College Pulau Pinang dalam kategori kolej bersaiz sederhana (enrolmen pelajar antara 601 – 1,999 orang).
  5. Penarafan enam bintang MyQUEST 2018/2019 untuk SEGi College Sarawak dalam kategori kolej bersaiz kecil (enrolmen pelajar kurang daripada 600 orang). 
  6. Penarafan lima bintang MyQUEST 2018/2019 untuk SEGi College Kuala Lumpur dalam kategori kolej bersaiz besar (enrolmen pelajar lebih daripada 2,000 orang).

Sistem penarafan SETARA digunakan untuk mengukur jaminan kualiti dan standard universiti serta kolej universiti di Malaysia berdasarkan autonomi, kualiti dan prestasi institusi. 

MyQUEST pula menilai tahap kualiti kolej swasta di Malaysia. Penilaian dan penarafannya hanya dilaksanakan dua tahun sekali.

Untuk peringkat antarabangsa, penarafan universiti teratas di Asia diumumkan oleh QS Asia University Rankings setiap tahun. Tahun ini, SEGi berada dalam senarai 45 peratus teratas.

SEGi pernah menerima anugerah lima bintang dalam kategori sama bagi tahun audit QS 2016 selain memperoleh penarafan tertinggi lima bintang untuk kategori pengajaran, kemudahan, tanggungjawab sosial dan inklusif. 

Kejayaan itu juga menjadikan SEGi University pertama mendapat pengiktirafan tinggi kerana mengutamakan keperluan masyarakat di Malaysia. 

Ditubuhkan pada 1997, SEGi menjadi salah satu institusi pendidikan tinggi swasta paling mapan di negara ini dengan populasi 20,000 pelajar tempatan dan antarabangsa. 

Sejajar Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), SEGi komited mempersiapkan pelajar dan akademik berkemahiran tinggi melalui kurikulum bertaraf dunia, hubungan industri terkemuka, kemudahan futuristik dan penglibatan bernilai tinggi.

Sejak penubuhan lebih empat dekad lalu, SEGi bangga dengan kejayaannya dalam melahirkan lebih 130,000 alumni di seluruh dunia.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, layari www.segi.edu.my.