[Berita Harian] Universiti SEGi tawar program asasi percuma

Oleh Siti Haliza Yusop

KUALA LUMPUR: Universiti SEGi (SEGi) menawarkan Program Asasi Percuma kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membantu pelajar memulakan perjalanan akademik dan seterusnya memberi impak kepada industri.

SEGi dalam kenyataan berkata, insiaitif itu dilaksanakan bagi meningkatkan aspek pendidikan dalam pembangunan masyarakat ketika negara berusaha menangani cabaran disebabkan penularan wabak COVID-19.

Katanya, SEGi komited membantu pelajar yang memerlukan sokongan sosial dan kewangan justeru Program Asasi Percuma itu akan menempatkan pelajar beberapa langkah lebih awal berbanding yang lain. 

“Melalui inisiatif Program Asasi Percuma yang juga sebahagian daripada perjalanan program ijazah sarjana muda kami, SEGi berharap dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab dalam meneroka potensi pelajar sewaktu krisis COVID-19.

“Program Asasi SEGi ini juga akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti laluan artikulasi (articulation pathways) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk pengajian di peringkat sarjana muda,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pandemik COVID-19 juga mungkin mengganggu proses pembelajaran justeru SEGi berharap dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran jarak jauh untuk menjadi pemangkin kepada kaedah pendidikan lengkap.

“Secara realitinya, tiada pihak benar-benar dapat mempersiapkan diri dalam menghadapi wabak seperti ini bagaimanapun SEGi tetap bersedia melaksanakan sistem pedagogi hibrid atau pembelajaran gabungan bagi memberikan pendidikan kepada pelajar secara jarak jauh dan digital. 

“SEGi juga menjadi pelopor pembelajaran jarak jauh sejak 2013 dan memahami kesan besar seperti ini terhadap bidang pendidikan, justeru kurikulum diterapkan kini 100 peratus berteraskan elemen Revolusi Industri 4.0 bagi mengembangkan kemahiran diperlukan graduan masa depan. 

“Pelajar juga turut dibimbing ahli akademik dan pakar berpengalaman serta berpengetahuan tinggi dalam memastikan asas pendidikan kukuh diterapkan bagi memulakan perjalanan pendidikan tinggi dan kerjaya mereka,” katanya.

Pelajar yang berminat boleh melayari laman www.segi.edu.my atau menghubungi kaunselor SEGi untuk sesi perundingan serta lawatan kampus maya hari ini di talian 03-61451777 atau melalui WhatsApp 011-12106389.